Thursday, June 26, 2008

Penjelasan Yang Tak Jelas

Sejak sebelum pilihan raya, semasa kempen pilihanraya malah sehingga sekarang tak sudah-sudah orang memperkatakan tentang kes Altantuya. Malah tidak dapat dinafikan, kisah berkenaan sedikit sebanyak telah memberi kesan yang besar kepada kejatuhan kerajaan BN dibanyak kawasan.
 
Agak malang bagi pihak kerajaan yang mempunyai banyak kelebihan, tidak mampu menangkis segala tuduhan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang, sehingga pada satu peringkat rakyat merasakan bahawa apa yang diperkatakan oleh pihak pembangkang itu adalah benar belaka.
 
Sehari dua yang lepas timbul lagi isu Altantuya. Dalam laporan akhbar dinyatakan bahawa PM tidak percaya dengan apa yang didakwa oleh Raja Petra. Apa yang saya ingin perkatakan di sini ialah, bukan masalah kita percaya atau tidak dengan apa yang ditulis oleh Raja Petra atau pihak pembangkang. Isunya ialah bagaimana kita menangkis tuduhan berkenaan. Adakah dengan berkata bahawa kita tidak percaya, maka kita mahu semua rakyat juga akan kata mereka tidak percaya?
 
Dalam kempen pilihanraya yang lepas, pihak pembangkang telah memanipulasi isu kenaikan harga barang keperluan disetiap kempen mereka. Malangnya pihak kerajaan saya lihat tidak membuat serangan balas untuk bukan sahaja menafikan apa yang diperkatakan oleh pihak pembangkang, tetapi seharusnya pihak kerajaan wajib mempunyai fakta dan bukti untuk meyakinkan rakyat bahawa apa yang pihak pembangkang perkatakan itu adalah tidak benar.
 
Berbalik kepada kes Altantunya, tidak perlulah akhbar menyebut 'orang kenamaan tertentu', kerana rakyat bawahan, samada mereka percaya atau tidak, telah tahu bahawa orang kenamaan yang dimaksudkan ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalan perdana menteri. Hendak terima atau tidak kerajaan terutamanya Pak Lah harus sedar bahawa pihak pembangkang telah berjaya meyakinkan rakyat bahawa Datuk Najib terlibat dalam kes berkenaan.
 
Malah banyak gambar-gambar dimana Datuk Najib bersama Abd Razak baginda bersama wanita, dipercayai wanita mongolia tersebut tersebar luas di internet. Kerajaan atau Datuk Seri Najib sendiri harus menerangkan kedudukan sebenar. Apakah tujuan perjumpaan berkenaan, seperti yang digambarkan dalam gambar tersebut. Mengapa Datuk Seri Najib menafikan yang beliau mengenali wanita mongolia tersebut jika benar gambar yang memuatkan Datuk Seri Najib bersama Razak baginda dan wanita mongolia tersebut adalah asli dan tidak di 'super impose' oleh golongan tertentu. Jika benar ada perbuatan golongan tertentu mengubah suai gambar berkenaan, siasatan perlu dilakukan dan tindakan terhadap orang yang membuat pengubahsuaian gambar berkenaan harus diambil. Jika tidak, rakyat akan tetap dan terus percaya dengan apa yang diperkatakan oleh pihak pembangkang.



No comments:

SAHABAT-SAHABAT AM