Friday, October 9, 2009

Teladan Dari Seberang

Umurnya baru 18 tahun. Di Malaysia remaja berusia 18 tahun mungkin sedang seronok merempit di atas jalan raya, menggunakan motorsikal pinjam atau dicuri. Yang lebih bernasib baik mungkin baru menjejakan kaki di kolej atau IPTA untuk menentukan nasib sendiri.

Remaja Indonesia yang berusia 18 tahun itu telah berhijrah ratusan kilometer untuk bekerja sebagai buruh kasar. Kalau dia mempunyai ongkos yang lebih, mungkin dia sudah menyeberangi Selat Melaka untuk mencari nafkah di Malaysia. Jumlah wang yang boleh dikirim ke kampungnya mungkin akan lebih, berbanding jika hanya bekerja di Indonesia.

Atau jika dia merupakan sebahagian dari sukarelawan Bendera, dia mungkin hanya mampu membawa pulang buluh-buluh runcing yang tidak jadi digunakan untuk menganyang orang Malaysia.

Dalam gempa bumi baru-baru, dia antara ratusan rakyat Indonesia yang terperangkap dan tersepit dicelah-celah runtuhan bangunan, yang masih lagi bergegar dan mungkin boleh terus meranapkan tulang dan tubuh-badannya.

Dalam keadaan yang begitu genting, dia sempat menggunakan akalnya yang berusia 18 tahun itu untuk membuat keputusan yang terlalu penting dalam hidupnya. Dia tahu, jika dia mati, keluarganya yang mungkin menaruh harapan hanya kepadanya sahaja untuk mencari nafkah, akan bertambah derita. Dia juga tahu, tidak ada orang yang datang menyelamatkan dia yang tersepit itu ketika gegaran masih lagi dirasai dan ramai lagi yang memerlukan bantuan dari petugas yang sedikit jumlahnya.

Lalu dia mengambil keputusan nekad bukan sahaja untuk menyelamatkan nyawanya, tetapi juga untuk menyelamatkan mungkin 5 atau 6 mulut dan perut adik-beradiknya di kampung yang menunggu dia mengirim ongkos untuk membeli makanan. Dia cekalkan hati 'memotong sendiri kakinya' yang tersepit dicelah runtuhan bangunan.

Bila ditanya oleh wartawan, dia berkata,

"Biarlah saya pulang ke kampung dengan ketiadaan kaki, daripada keluarga saya terpakasa meratapi mayat saya"

Sungguh sadis cerita remaja berkenaan. Adakah antara kita yang mampu berbuat seperti dia? Berfikir dalam keadaan sebegitu genting. Membuat keputusan bukan sahaja untuk nyawanya, tetapi sempat juga memikirkan nasib keluarga di kampung. Rasaya susah nak dapat seorang macam dia dalam 26 juta penduduk Malaysia.

Jika ada, sudah tentu pemandu-pemandu jalan raya akan memandu dengan berhati-hati ketika pulang berhari raya, kerana tidak mahu keluarga yang sepatutnya gembira berhari raya, tetapi telah bersedih dan berduka meratapi jenazah orang tersayang.

Begitulah cerita dari seberang. Dalam ratusan juta penduduknya, mungkin sebahagian kecil yang dungu ingin bermusuhan dengan rakyat Malaysia. Tetapi ada juga pengajaran yang kita boleh jadikan panduan.

No comments:

SAHABAT-SAHABAT AM