Bila kementerian belia dan sukan mengumumkan akan memberi ganjaran sebanyak rm1 juta kepada atlit yang memenangi pingat emas di olympik akan datang, saya rasa macam ada yang tak kena. Dah kaya sangat ke? Tak terfikirke pak menteri tentang rakyat bawahan yang sedang menanggung derita akibat kenaikan harga barang makanan yang sedang ditanggung oleh rakyat yang miskin.
Memang, bagi atlit dan ahli keluarganya mereka akan merasakan ganjaran berkenaan adalah berbaloi dengan sumbangan yang mereka berikan kepada negara. Tetapi atlit juga harus sedar bahawa ahli-ahli sukan terdahulu hatta para prajurit yang berkorban nyawa semasa mempertahankan negara pun tak mendapat ganjaran sebesar itu.
Sebenarnya bukan soal besar atau tidak sumbangan kita kepada negara, kerana sebenarnya pengorbanan kepada negara itu adalah satu kewajiban kepada yang mampu dan tidak perlu meminta balasan. Siapa yang berani mempertikaikan sumbangan prajurit dan pahlawan negara ketika zaman penjajah? Tetapi pernahkah mereka meminta sebarang ganjaran?
Dalam hal atlit ini, saya rasa atlit tidak patut dipersalahkan, kerana mereka juga tidak meminta ganjaran. Cuma seperti kebiasaaan, adat kita ialah menghargai orang yang telah membuat jasa. Tetapi kenapa sampai rm1 juta? Sedangkan RM1 juta itu mampu membantu golongan yang lebih memerlukan dikampung-kampung. RM1 juta itu boleh membina sebuah masjid yang boleh digunakan oleh berpuluh-puluh orang yang memerlukan.
Mungkin kementerian belia dan sukan terlepas pandang tentang kehidupan bermewah-mewahan dikalangan segelintir atlit telah membuatkan mutu sukan negara kita berada dikedudukan yang paling mendukacitakan. Lebih dari itu, kita takut nanti semua orang yang membuat jasa kepada negara bukan dengan keikhlasan, tetapi menanti ganjaran yang akan dilimpahkan kepadanya. Lihat sahaja pemain bola sepak negara. Bandingkan pasukan negara dizaman era Mokhtar Dahari yang mampu menewaskan Korea Selatan, Jepun, Kuwit dan negara-negara besar yang lain. Apakah ganjaran yang mereka dapat ketika itu? Manakala pemain bola sepak sekarang, hidup mewah, kereta besar, kaki perempuan, kaki disco dan sebagainya kerana hidup mereka terlalau mewah - tidak setaraf dengan pencapaian mereka dipadang bola. Itu kah yang kita hendak?
Kesimpulannya, saya merasakan pihak kementerian perlu mengkaji semula anugerah yang telah dicadangkan itu memandangkankan kita sedang berada dizaman yang susah disebabkan kenaikan harga barang-barang keperluan. Bukan tidak boleh beri anugerah tetapi berpatut-patutlah. Malah saya rasa rasa lebih baik mereka itu dianugerahkan dengan pingat kebesaran seperti PJK, AMN dan sebagainya kerana ianya akan kekal dan individu berkenaan boleh mengabdikannya sepanjang hayat, dan boleh menceritakannya kepada anak cucunya dikemudian hari.