Thursday, February 25, 2010

Apakah Pengertian Maulidur Rasul Kepada Kita?


Maulidur Rasul ialah hari memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Ianya tidak sama seperti memperingati hari lahir kita, hari lahir kekasih, hari lahir ayah ibu dan orang tersayang yang lain.

Hari memperingati kelahiran, biasanya akan diraikan bersama orang yang terlibat. Sebaliknya kita memperingati kelahiran Nabi Muhammad S.A.W tanpa kehadiran baginda. Tanpa meniup lilin dan tanpa ada potong kek harijadi.

Lalu bagaimanakah caranya kita meraikan hari kelahiran kekasih Allah itu? Sekadar berarak dan mengadakan jamuan? Atau cukup sekadar berselawat, berzanji dan mendengar ceramah berkenaan kebesaran baginda? Lepas itu habis?

AM secara peribadi beranggapan semua yang kita lakukan itu hanyalah simbolik. Yang lebih penting dan maha penting ialah, bagaimana kita menghayati dan menuruti segala ajaran yang telah baginda turunkan kepada kita.

Bila kita ditegur kerana kelakukan kurang baik, kita lantas berkata "ala kita bukan nabi.." Apakah maksudnya? Adakah ajaran yang dibawa oleh Rasulullah itu tidak perlu kita ikuti hanya kerana kita bukan nabi?

Satu-satunya perbuatan nabi yang biasa diikuti ialah, bila ada niat nak kahwin dua, kerana nabi mempunyai isteri lebih dari satu. Untuk mengelakkan si isteri terus marah, si suami akan berkata "ala, sedangkan nabi ampunkan umat"...

Sebab itu ada yang jahat mulut akan berkata, "Bab kahwin nak ikut nabi, tetapi perangai macam babi.."

Para alim ulamak dikatakan sebagai pewaris nabi. Tetapi adakah mereka telah berusaha untuk melakukan perkara-perkara yang diajar oleh nabi untuk mendidik umat islam yang lain? Atau adakah mereka masih juga mengatakan bahawa mereka bukan nabi dan tidak mungkin dapat melakukan perkara-perakara seperti yang dilakukan oleh nabi?

Nabi Muhammad S..A.W adalah contoh terbaik untuk menyatupadukan umat. Banyak contoh Rasulullah tunjukkan untuk berhadapan dengan sesuatu isu besar. Ketika dalam usaha menyebarkan agama islam, bukan calang-calang dugaan dan tentangan yang baginda hadapi termasuk ancaman bunuh oleh musuh-musuh Islam.

Malangnya, dalam banyak kes, tidak nampak sedikitpun kita mengikuti apa yang dilakukan oleh Rasulullah.

Rasulullah sentiasa bersabar ketika menghadapai dugaan yang besar, bersabar ketika menghadapi penghinaan dan tekanan dan bersabar ketika menyelesaikan masalah pertelingkahan umat islam.

Sebaliknya kita, malah yang bergelar ulamak @ perwaris nabi, akan meleting bila berhadapan dengan dugaan. Akan marah dan meninggikan suara bila menghadapai tekanan dan akan membuat pertimbangan mengikut hawa nafsu ketika menyelesaikan pertelingkahan antara dua pihak yang berbeza pendapat. Kemana hilangnya warisan nabi yang menyuruh kita bersabar dan adil ketika membuat keputusan?

Apalah gunanya kita sibuk-sibuk membuat banner, mengadakan kenduri dan sebagainya untuk menyambut Maulud Nabi, sedangkan dalam kehidupan harian kita, sedikitpun kita tidak menjadikan Rasulullah itu sebagai role model (selain kahwin dua).

Semoga dengan kehadiran hari memperingati ulang tahun Rasulullah S.A.W pada tahun ini, umat Islam di Malaysia akan berubah kepada mantaliti yang lebih mulia, agar umat Islam terus dihormati dan tidak lagi dikeji. Paling tidak, AM harap umat Islam di Malaysia akan dapat bersatu hati ketika berhadapan dengan sesuatu yang melibatkan kesucian agama Islam. Tanggalkan baju politik dan buangkan kasut politik jauh-jauh ketika kita berkata tentang agama. Amin.

No comments:

SAHABAT-SAHABAT AM