Kebelakangan ini, semua orang memperkatakan tentang HAK dan menuntut HAK. Orang yang kerjanya makan tidur, makan tidur dah pandai cerita tentang HAK. Orang yang seumur hidupnya tak pernah membayar walau sesenpun cukai pendapatan, juga bercerita tentang HAK. Kadangkala mereka sendiri keliru samada apa yang dikatakan HAK itu, sebenar-benarnya memang hak mutlak mereka.
Sedangkan, dikala kita mengharap agar Allah Taala memberikan kesihatan dan kesejahteraan serta melimpahkan kemewahan kepada kita, menurunkan hujan dan memberi udara unduk kita sedut, kita tidak boleh alpa dan lupa bahawa Allah Taala juga ada HAK untuk ditunaikan oleh kita, iaitu HAK untuk disembah dan HAK untuk dituruti segala perintahNya dan dijauhi laranganNya.
Hakikatnya, HAK tidak boleh dimiliki oleh kita, tanpa ada imbalan yang harus dibayar atau dibalas.
Penulis blog akan menulis apa sahaja yang terlintas di kepala masing-masing atas alasan mereka berhak untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat. Para demostrasi jalanan menggunakan sepenuhnya ruang yang ada untuk berdemo, atas alasan itu adalah hak mereka seperti yang terkandung di dalam perlembagaan.
Kerjaan Kelantan menuntut royalti minyak, sehingga mengadakan solat hajat, kerana merasakan hak mereka telah dinafikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Tengku Razaligh telah berucap di pentas PAS dan turut sama mengutuk kerajaan BN, atas alasan bahawa dia berhak untuk bercakap dan tak sanggup menjadi 'pak turut'.
Anwar Ibrahim menggunakan sepenuhnya hak beliau untuk mendapat keadilan dengan menggunakan proses mahkamah untuk melengah-lengahkan proseding perbicaraannya.
Kadang kala kita lupa, hak yang kita tuntut itu boleh menyebabkan ada pihak yang akan kehilangan hak. Para demostrasi lupa, bahawa orang yang berkecuali mempunyai hak untuk rasa selamat dan hak untuk bersenang-senang tanpa ketakutan akan tercedera dan sebagainya. Adil kah itu?
Anwar Ibrahim menuntut agar perbicaraannya ditangguhkan kerana dia mempunyai hak disisi undang-undang untuk membuat rayuan demi rayuan, tetapi siapakah yang akan memberi hak kepada Saiful untuk mendapat keadilan?
Tengku Razaligh merasakan adalah haknya untuk berucap, tetapi adakah dia telah bercakap atas landasan yang betul? Tanpa mengambil kira 'hak' Kerajaan Barisan Nasional (yang dia bernaung di bawahnya)untuk dijaga imej dan maruahnyanya, adakah dia benar-benar tahu dan pasti bahawa royalti minyak itu benar-benar hak kerajaan PAS Kelantan?
Tak kisahlah kalau dia tidak hendak bertuankan Barisan Nasional dan tidak hendak menjadi 'pak turut', tetapi benarkah memang Kelantan berhak mendapat 5% royalti minyak?
Siapakah yang sebenar-benarnya berhak untuk menentukan hak royalti minyak itu? Rakyat berhak untuk tahu fakta yang sebenar. Bukan sekadar raktorik.
Penulis blog, yang siang malam kerjanya mengutuk kerajaan dan membuat fitnah, merasakan itu adalah haknya untuk bersuara. Maka dengan berani ada yang sanggup menghina raja-raja melayu, malah ada yang dengan lancang dan tanpa memperdulikan sensitiviti penganut agama Islam, telah menghina Nabi Muhammad S.A.W.
Akhrinya, setiap orang mempunyai hak untuk meminta maaf dan dimaafkan. Tetapi adakah hanya mereka sahaja, setelah membuat salah sehingga menjatuhkan imej pihak lain dan melukakan perasaan ramai orang, perlu diberikan hak?
Bagaimana hak orang yang telah tercalar imejnya, jatuh maruahnya dan terguris hatinya kerana ucapan atau tulisan yang telah mereka keluarkan? Siapa yang akan mengembalikan hak mereka itu?
No comments:
Post a Comment