Monday, January 11, 2010

Kristian Boleh Terus Hidup Tanpa Guna Kalimah Allah

Akhbar Herald-The Catholic Weekly perlu bersedia menggugurkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di mahkamah berikutan perkembangan yang semakin membimbangkan hingga mengakibatkan beberapa gereja dibakar.

Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun berkata, langkah tersebut perlu untuk keamanan dan kestabilan rakyat berbilang kaum di negara ini.

‘‘Sudah tiba masanya kita, masyarakat Kristian khususnya Katholik membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam supaya dengan senang hati menggugurkan perkataan Allah untuk menenangkan saudara Islam kita.

‘‘Daripada terus mendesak hak untuk menggunakan perkataan Allah adalah lebih baik jika Katholik hanya menggunakan perkataan ‘Tuhan’ atau ‘Tuhan Yang Maha Kuasa’.

‘‘Biarlah saudara Islam kita sahaja yang menggunakan perkataan Allah untuk kebajikan supaya kita dapat hidup aman damai dan harmoni di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dari kenyataan (orang kristian) itu AM rasa, penganut Kristian sendiri tidak merasakan perlunya mereka menggunakan kalimah Allah.

Kawan AM yang beragama kristian memberitahu AM, dia sendiri tidak tahu menahu dengan apa yang sedang berlaku. Bila AM ceritakan kepadanya tentang tuntutan kalimah Allah itu, dia kata,

"Kristian bukan agama baru, tetapi dah bertapak di Malaysia sejak beratus tahun dan tidak pernahpun menggunakan perkataan Allah, jadi apa perlunya baru sekarang hendak tuntut?"

AM cukup pasti, memang ada 'perancangan' pihak tertentu untuk menjadikan kestabilan Malaysia terus menerus bercelaru dan berceramuk. AM tidak rasa, tuntutan untuk menggunakan nama Allah itu, datangnya dari majoriti penganut Kristian di Malaysia. Sebaliknya hanya dua tiga orang yang telah diperalatkan oleh orang-orang yang berkepentingan, telah membawa kes tuntutan berkenaan ke Mahkamah.

Jadi nasihat oleh Datuk Clarence Bongkos Malakun itu harus diikut oleh penganut kristian. Lebih dari itu, orang Melayu Islam juga mesti mengambil ikhtibar bahawa kita tidak harus melatah dengan apa yang berlaku (kes tuntutan itu).

Kesilapan yang kita lakukan (dengan bertindak keterlaluan) bukan merugikan penganut Kristian, sebaliknya akan menguntungkan pihak-pihak yang ingin menangguk di air keruh.

Mereka berharap dengan apa yang berlaku penganut agama Kristian akan membenci orang Melayu dan kerajaan, terutamanya menjelang pilihanraya DUN Sarawak, dimana majoriti bumiputera di sana adalah penganut Kristian.

Orang Melayu yang berfikiran waras, sepatutnya boleh membuat penilaian tentang motif sesuatu yang berlaku. Bertindaklah menggunakan kematangan dan bukan menggunakan emosi.

Penganut agama lain pula, harus belajar dari tragedi yang berlaku. Jangan cuba-cuba menjolok sarang tabuan.

No comments:

SAHABAT-SAHABAT AM