Peribahasa lama, kerana mulut badan binasa, rupa-rupanya sudah dilupai oleh genarasi kita.
Bezanya sekarang, bukan hanya mulut yang boleh membinasakan, tetapi jari juga rupa-rupanya sangat bahaya jika digunakan tanpa pertimbangan akal yang waras.
Tulisan dalam Facebook berkenaan situasi yang sedang hangat dalam negara, telah mengheret seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dituduh menggunakan aplikasi dalam Internet untuk membuat komen yang boleh mengancam keselamatan orang lain lima hari lepas.
Mohamad Tasyrif Tajudin, mungkin tidak bernasib baik, berbanding dengan ribuan lagi penulis blog yang suka menulis tanpa memikirkan akibat dari tulisannya. Ramai dari kita tidak takut lagi dengan dosa kerana memfitnah.
Jika keadaan keselamatan negara 'masih dalam keadaan terkawal', Mohd Tasyrif mungkin masih boleh terus berseronok menulis apa yang dia handak tulis. Malangnya dia tersilap langkah dan tersilap mentafsir. Dia tersalah hari.
Sebenarnya jika pihak kerajaan ingin bertegas (bukan hanya terhadap kes tertentu) ramai lagi penulis blog akan menerima nasib yang sama seperti Mohd Tasyrif. Cuma dalam kes-kes lain (yang tidak melibatkan keselamatan negara) kerajaan mengambil sikap 'tutp sebelah mata'.
Yang penting ialah, bagaimana pembaca blog dan tulisan dalam internet menilai setiap apa yang dibaca. Kena pandai bezakan antara fakta dan fitnah.
Boleh beremosi, tetapi perlulah disertakan dengan kewarasan fikiran dan mengambil tanggung-jawab atas apa yang ditulis. Jari tidak mempunyai otak. Tetapi yang empunya jari itu sepatutnya mempunyai akal fikiran untuk mengawal tingkah lakunya.
No comments:
Post a Comment