Tuesday, November 10, 2009

Masa Untuk Orang UMNO Berbulan Madu?

Selepas pilihanraya ke-12, baik orang UMNO sendiri atau orang luar UMNO, merasakan bahawa UMNO sudah sampai kepenghujung jalan. Ada yang membuat teori bahawa tidak ada mana-mana parti politik di dunia ini yang boleh bertahan lebih dari 50 tahun. UMNO telah menggunakan kesemua talian hayatnya dan menunggu masa untuk 'ditalkinkan'.

AM pun secara jujur merasakan begitu. Tambahan pula bila melihat 'peel' pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat cawangan dan bahagian. Mereka masih bercakaran sesama sendiri tanpa menyedari bahawa 'beruang besar sedang berada di belakang mereka untuk mencakar tubuh mereka'. Buktinya, selepas kalah dikebanyakan kerusi semasa PRU12, orang UMNO masih lagi berebut jawatan dalam pemilihan UMNO yang diadakan beberapa bulan selepas pilihanraya itu.

Dalam kebanyakan NGO atau persatuan, bila persatuan tersebut sudah lemah (atau memang tidak kuat)biasanya ramai yang tak suka untuk menjadi ketua. Hal ini kita dapat lihat dalam parti PAS sebelum ini, dimana kita tidak pernah nampak/dengar antara mereka berkelahi untuk merebut jawatan. Sebutlah apa sahaja, sebab mereka lebih tawada', lebih berdisiplin, lebih islamik atau apa sahaja. Hakikat sebenarnya, mereka tidak berebut jawatan kerana mereka tahu mereka adalah parti yang kecil. Ciput.

Itu dulu...

Tetapi sekarang PAS tak sama lagi seperti PAS zaman Fadzil Noor (sebelum dari itu AM tak boleh ingat). PAS sekarang sudah cukup kuat (atau merasa cukup kuat). Sebab itu kita lihat sudah ada perebutan jawatan dan tolak menolak antara mereka (yang akan membawa kepada perbuatan cantas mencantas - seperti yang diamalkan oleh sebahagian dari pemimpin UMNO - sama sahaja).

Tidak cukup dengan itu, bermacam isu kini telah melanda kepimpinan PAS hingga kelihatan seolah-olah terdapat dua kelompok besar dalam PAS (tak kisahlah apa juga isunya). Kalau dalam parti lain akan disebut team A dan team B. Bagusnya, dalam PAS, mereka masih berjaya menutup 'bintik-bintik gatal' atau 'ruam panas' di badan masing-masing dari dilihat oleh orang lain. Sekurang-kurangnya hingga saat ini.

Maka, ada pemimpin UMNO yang mula syok melihat masalah yang melanda parti pembangkang. Rupa-rupanya (baik PAS mahupun UMNO) masih mengharap pihak lawan lemah, untuk menunjukkan seolah-olah mereka lebih kuat. Semua orang tahu, pembangkang menang banyak kerusi semasa PRU12 bukan kerana mereka kuat, tetapi kerana UMNO/BN berpecah belah.

Orang UMNO nampaknya belum banyak berubah walaupun mempunyai Presiden yang cukup komited untuk merubah persepsi buruk rakyat terhadap UMNO selama ini. Orang UMNO tidak boleh 'mengambil kesempatan' dari kemerosotan sokongan rakyat terhadap pembangkang (akhir-akhir ini)dengan tidak berbuat apa-apa.

PAS dan parti-parti pembangkang lain boleh 'joli' dengan sokongan rakyat yang merajuk dengan UMNO pada pilihanraya yang lalu dan memangkah parti pembangkang, tetapi UMNO mempunyai peranan yang lebih besar. UMNO tidak boleh 'tumpang tuah' dan mencuri peluang atas kelemahan pihak lain, seperti yang parti pembangkang lakukan.

Pemimpin UMNO tidak boleh lagi melakukan kesilapan yang pernah mereka lakukan. Jika kini rakyat mungkin rasa 'cukuplah hukuman yang mereka berikan kepada pemimpin UMNO setakat ini', tidak bererti rakyat tidak boleh menghukum UMNO sekali lagi semasa pilihanraya akan datang.

Masa berbulan madu untuk pemimpin UMNO sudah tiada lagi.

4 comments:

DI PINTU RAKSI (DPR) said...

setuju,

bersatu,bersetia,berkhidmat

zhafrie said...

THAT is politics, AM..permainan dua pihak untuk menang. Dan ya, UMNO tak boleh berehat dan makan popcorn sambil tonton drama PAS. Siapa tahu semua itu sengaja direka untuk perdaya UMNO, kan? Hehe.

AnakMerdeka said...

Memang, dalam politik satu pihak akan bersorak gembira jika pihak lawan sedang menghadapi masalah.

Tetapi jangan perangai itu ditanam dalam sanubari orang UMNO.

Biarkan PAS nak kuat atau nak melingkup, orang UMNO kena terus buat kerja.

DI PINTU RAKSI (DPR) said...

setuju,

bersatu,bersetia,berkhidmat
motto ini sila sematkan didalam sanubari ahli PEKEMBAR!

SAHABAT-SAHABAT AM