Ramai antara kita rasanya tidak benar-benar faham tentang maksud dan cara kerajaan Perpaduan yang diilhamkan oleh Hadi Awang itu hendak dilaksanakan. Ada yang beranggapan bahawa cadangan itu bermaksud, UMNO dan PAS akan bergabung untuk membentuk kerajaan campuran. Tidak kurang juga yang mentafsirkannya seperti PAS akan menyertai BN, PAS dibubar dan ahlinya menyertai UMNO dan berbagi-bagai lagi tafsiran. Lebih menarik lagi, ada antara penyokong kedua parti yang mula saling menuduh, siap dulu yang mencetuskan isu kerjaan perpaduan ini.
Sebenarnya jika diteliti secara halus, perpaduan antara kerajaan dan pembangkang telah wujud sejak sekian lama, tetapi dalam peratusan yang sangat kecil dan dilaksanakan secara bersendirian dan bukannya melibatkan parti.
Dulu-dulu kita sering melihat Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP (sekarang Presiden) hadir ke rumah terbuka Hari Raya Pedana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Muhammad. Itu adalah salah satu perpaduan yang ditunjukkan oleh pemimpin politik tersebut. Secara tidak langsung rakyat bawahan akan turut bersikap rasional. Tun Mahathir sendiri, pada satu ketika pernah mengarahkan halikopter tentera digunakan untuk membawa jenazah Presiden PAS, Ustaz Fadzil Noor yang meninggal di HUKM, Kuala Lumpur untuk di bawak ke kampungnya di Kedah. Adakah Tun Mahathir mendapat apa-apa kredit politik kerana tindakannya itu? Tidak. Tetapi itulah contoh bahawa bukan setiap masa pertimbangan politik harus digunakan. Bukan sepanjang masa kita perlu berpolitik.
Di Parlimen misalnya, jika ada usul-usul melibatkan kemanusiaan sejagat, seperti mengutuk pembunuhan beramai-ramai rakyat Bosnia oleh tentera Serbia, seluruh MP termasuk dari pembangkang turut sama memberi sokongan. Itu juga adalah contoh perpaduan.
Tetapi sejak kebelakangan ini, rakyat telah diajar untuk bermusuhan dan membenci orang-orang yang tidak 'satu bendera' dengan mereka. Rakyat telah ditanam dengan sikap marah dan benci yang membuak-buak terhadap kerajaan. Setiap tindakan kerajaan akan dichop sebagai salah. Kerajaan yang telah wujud sejak 52 ini dituduh tidak efesyen, rasuah, tidak islamik dan sebagainya. Bila sikap benci yang meluap-luap telah tertanam dalam sanubari rakyat, maka mudahlah golongan berkenaan mengejar cita-cita politiknya.
Sebab itu bila Hadi Awang mengusulkan cadangan kerajaan perpaduan, golongan yang merasakan cara ini akan merugikan pembangkang, bilamana rakyat telah kembali berfikir secara rasional, maka cepat-cepat bertindak agar cadangan Haji Hadi itu janagan sampai jadi kenyataan. Jika ianya dilaksanakan, pembangkang akan kelihatan seperti kembali lemah. Sebab itu ada yang menentang dan tidak kurang pula yang berbelah bagi.
Sebenarnya, pembangkang yang kuat memang diperlukan dalam negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia. Peranan pembangkang ialah untuk mengimbangi kerajaan, agar tidak berlaku ketirisan dan penyalahgunaan kuasa yang akan merugikan rakyat. Dalam masa yang sama, sesuatu perkara atau dasar yang boleh memberi kebaikan kepada rakyat seharusnya disokong juga oleh pembangkang. Kerana itulah nawaitu sebenar untuk menjadi ahli politik dan pemimpin. Untuk membantu rakyat dan memastikan rakyat dapat hidup makmur dan harmoni. Adakah pemimpin politik yang mempunyai niat lain selain untuk membantu rakyat? Jika ada, mari kita sama-sama nyahkan mereka dari pentas politik.
AM ingin mengaitkan cerita ini dengan isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang, iaitu saranan untuk mewujudkan sekolah satu aliran. Walaupun sebelum ini ramai pemimpin politik telah menyuarakan desakan, tetapi yang terbaru saranan itu telah diutarakan oleh Prof Khoo Kay Kim (sorry kalau salah eja nama dia). Dia seorang yang berbangsa cina, yang ingin melihat perpaduan antara kaum dipupuk seawal sekolah rendah lagi. Malah rasanya ramai orang-orang cina dan india, terutamanya golongan vateran, merasa amat perlu untuk kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran, jika benar-benar ingin mewujudkan perpaduan kaum. Perlu diingat, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang masih mengekalkan sekolah mengikut bahasa ibunda. Nasib baik kita hanya mempunyai tiga bangsa utama. Bayangkan jika Malaysia mempunyai rakyat Arab, Pakistan, Pertugis dan lain-lain yang hampir sama ramai. Berapa banyak sekolah jenis kebangsaan yang harus didirikan?
Prof Khoo pastinya tidak memandang isu ini dari sudut politik, semasa menyuarakan pendapatnya. Malangnya ramai antara pemimpin kaum, terutamanya yang berbangsa India dan Cina, menganggapnya sebagai satu usaha untuk menghapuskan bahasa ibunda kaum mereka. Mereka pastinya, memandang isu ini dari sudut politik sempit masing-masing.
Hendak tidak handak, kerajaan terpaksa berhadapan dengan cemuhan dan tuduhan seolah-olahnya takut dengan tekanan kaum Cina dan India hanya kerana inginkan sokongan politik dari kaum-kaum berkenaan. Hakikatnya, seperti kata Datuk Seri Najib, apa guna dilaksanakan sekolah satu aliran, jika perpaduan yang dicari, tetapi persengkitaan yang kita dapat. AM bersetuju, kerana "perkara yang baik hendaklah dilakukan dengan cara yang betul"
Berbalik kepada perpaduan yang disarankan oleh Hadi Awang itu, AM berpendapat dalam situasi seperti inilah sepatutnya PAS memberikan sokongan. Malah jika dibentangkan di Parlimenpun, jika ahli Parlimen PAS menyokong, ditambah dengan ahli Parlimen UMNO, pasti jumlah akan lebih ramai dari yang menentang, kerana kita tahu, ramai dari MP dari parti-parti komponen BN selain MCA, MIC dan Gerakan, pasti juga akan memberi sokongan. Sekurang-kurangnya rakyat boleh tahu sejauh mana PAS memang sebuah parti politik yang lebih mementingkan kebajikan rakyat dari kepentingan peribadi.
Selagi pempimpin-pemimpin politik terus memandang sesuatu isu dari sudut politik yang sempit, maka selagi itulah rakyat akan terus menjadi mangsa. Tidak perlulah lagi sebut pasal perpaduan dan lupakanlah hajat untuk membela rakyat.
3 comments:
AM berkata:
Sebenarnya, pembangkang yang kuat memang diperlukan dalam negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia. Peranan pembangkang ialah untuk mengimbangi kerajaan, agar tidak berlaku ketirisan dan penyalahgunaan kuasa yang akan merugikan rakyat.
SETUJU 100%
catatanhamba.blogspot.com
tapi pasca pru 13 banyak yang rugi dari untung...
ralat : pru 12
Post a Comment