Saturday, August 1, 2009

Kenapa Bertempiaran Lari?

Itulah situasi yang dapat dilihat dalam berita di kaca tv. Bayangkan dengan semangat berkobar-kobar, ada yang datang dari jauh, berbelanja wang ringgit untuk tambang (dan mungkin baju), akhirnya lari bertempiaran bila disembur dengan gas pemedih mata dan pancutan air. AM jangkakan mereka akan berkubukan batang tubuh walaupun diacukan dengan meriam dan senjata M-16.

Tetapi itulah kenyataannya. Kenyataan itu juga yang pernah AM lalui sedikit masa dulu. Atas nama menuntut keadilan (dibaca menuntut keadilan untuk Anwar Ibrahim). Walaupun kali ini isunya adalah ISA, tetapi pemacunya semua orang tahu siapa. Itu AM tak mahu komen.

Apa yang semua orang kena faham, termasuk pelajar IPT yang sanggup dipergunakan oleh orang-orang tertentu (yang kemungkinan gelap masa depan)ISA tidak akan dihapuskan dengan cara demostrasi jalanan. Apa yang pasti orang-orang yang terjejas perniagaannya, orang awam yang tidak memihak kepada mana-mana puak, telah berbakul-bakul menyumpah seranah para pendemostrasi. Harap-harap sumpah mereka yang teraniaya itu tidak akan mengena pada sesiapa. Ada yang tertangkap dan yang terlepas, balik dengan penat, basah baju, berpinar biji mata...tetapi tak ada apa-apa. Kosong. Macam tin yang dicampak kelongkang. Lalat pun tidak akan terkejut.

Jika benar majoriti rakyat Malaysia tidak mahu ISA, berilah penjelasan sebab dan musabab akta itu wajib dihapuskan. Dalam pilihan raya akan datang, pilihlah Pakatan Rakyat. Setelah itu biarlah pakatan rakyat hapuskan akta itu. Habis cerita.

No comments:

SAHABAT-SAHABAT AM