Friday, August 21, 2009

Ramadhan Datang Lagi

InsyaAllah esok umat islam akan mula menunaikan rukun islam ketiga, puasa dibulan Ramadhan. Bila bulan Ramadhan, syaitan dan iblis akan dirantai oleh Allah agar tidak menganggu umat islam menjalankan ibadat.

Itu semua orang tahu.

Sebenarnya kita ini umpama kuda sarkas yang diajar siang malam untuk berlari dalam satu bulatan dan diikat dengan tali pada satu pancang di tengah bulatan itu. Bila tiba hari pertunjukan, kuda akan berlari dalam bulatan, walaupun ketika itu tali yang mengikatnya pada pancang sudahpun dibuka.

Sebab itu bila tiba bulan puasa kita masih dapat melihat orang-orang islam masih terus melakukan perbuatan-perbuatan yang dimurkai Allah sedangkan syaitan sudahpun dikurung. Sebabnya, mereka itu telah dihasut dan dididik oleh syaitan sepanjang sebelas bulan dan walaupun pada satu bulan Ramadhan syaitan tidak lagi menggoda mereka, amalan terkutuk itu akan terus diamalkan. Seperti juga kuda sarkss tadi.

Lalu AM teringat kata-kata ustaz masa kecil dahulu. Syaitan itu terdiri dari beberapa peringkat dan kedudukan. Bagi orang-orang kecil dan jahil, syaitan yang menggoda mereka hanyalah yang berpangkat prebet sahaja, sedangkan orang-orang yang tinggi ilmu agamanya akan sentiasa digoda oleh syaitan-syaitan yang berpangkat general.

Sebab itu jika kita kaitkan kisah ini dengan senario politik tanah air, kita boleh lihat dengan jelas, bagaimana orang-orang yang bergelar tok guru dan ulamak boleh dengan sewenang-wenangnya mempermainkan hukum agama mengikut kehendak hati mereka dan mengkikut situasi tertentu. Orang-orang yang ramai pengikutnya ini, telah memudahkan kerja syaitan, kerana apa yang keluar dari mulut ulamak biasanya akan dengan mudah dipercayai oleh pengikut tanpa perlu menapisnya terlebih dahulu.

Marilah kita sama-sama menggunakan bulan yang penuh dengan keberkatan ini untuk memohon agar Allah memberikan taufik dan hidayat kepada kita agar kita dapat membezakan antara yang hak dan yang batil. Agar kita dapat membezakan antara kebenaran dan kemungkaran. Marilah kita memohon agar Allah s.w.t menunjukkan kepada kita siapakah yang benar dan siapakah yang sedang membawa kita kejalan kehancuran.

Wallahualambissawab..

1 comment:

DPR said...
This comment has been removed by the author.

SAHABAT-SAHABAT AM