Wednesday, August 26, 2009

BN/UMNO Kalah Lagi...Memang Salah Sendiri...

Itulah kenyataannya. BN kalah lagi. Kali ini dalam pilihanraya kecil Permatang Pasir.

Kenyataannya sedih bercampur malu, walaupun bukan mengaibkan. Itulah proses demokrasi. Setidak-tidaknya BN sentiasa menghormati suara rakyat. Kalau itu yang dikehendaki rakyat, biarkan sahaja.

Ini bukan salah sesiapa. Bukan salah petugas yang tak buat kerja atau salah PM yang baru beberapa bulan mentadbir negara.

Kenyataannya Permatang Pasir adalah kubu kuat PAS. Ketaksuban rakyat di sana terhadap PAS dan Anwar Ibrahim, sudah sama dengan taksub kepada dewa-dewa, jikapun tidak sampai ketahap tuhan.

Apa yang ingin AM katakan ialah, cara BN/UMNO memilih calon dan sikap ahli-ahli BN sendiri yang nampaknya belum banyak berubah. Harap-harap mereka akan berubah sebelum terlambat. Jika pihak pembangkang kata BN/UMNO tidak akan berubah, biarkan. Yang penting ahli UMNO dan BN kena berusaha untuk berubah.

Pemilihan calon yang mempunyai masalah, diketika UMNO kadang kala lambat (atau tidak ada langsung) membuat persediaan menjawab semula tuduhan-tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan oleh pihak lawan. Pada hari penamaan calon, pihak lawan telah mengetahui 'masalah' yang dihadapi oleh Rohaizat. Itulah satu-satunya senjata yang mereka gunakan sepanjang kempen. Tidak ada satupun isu tempatan atau 'dasar parti' yang digunakan oleh mereka. Tidak mungkin orang BN sendiri tidak tahu masalah itu sebelum memilih Rohaizat sebagai calon? Atau adakah sikap 'tak apa' akan terus menebal dalam jiwa orang BN? Dulu boleh la, letak siapapun BN akan menang tetapi sekarang ini perkataan itu digunakan pula oleh pembangkang. Letak calon yang tidak pernah menang sebelum ini pun, mereka boleh menang dengan majoriti 5 ribu lebih.

Keduanya sikap sebahagian pemimpin BN sendiri yang dulu hanya dimiliki oleh pemimpin-pemimpin UMNO di Kelantan nampaknya kini boleh dilihat dimana-mana. UMNO/BN kena mengaku walaupun ianya pasti akan menjadi bahan jenaka pihak lawan. Orang BN/UMNO mempunyai sikap irihati dan bersikap 'biar putih mata dari berputih tulang'. Bila tidak terpilih menjadi calon, orang-orang UMNO/BN mula berpuak-puak dan berkira-kira untuk mensabotaj calon yang terpilih. Dan jika puak mereka yang terpilih, puak yang satu lagi juga akan melakukan perkara yang sama.

Perkara ini tidak berlaku dalam PR. Walaupun pada peringkat awal mereka berebut-rebut untuk meletakkan calon pilihan mereka, tetapi bila pucuk pimpinan telah memilih calon yang sesuai, mereka semua akan akur dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon pilihan mereka.

Kesimpulannya, jika rakyat sudah muak dengan sesuatu benda itu, janganlah benda yang sama juga kita hidangkan.

No comments:

SAHABAT-SAHABAT AM