Wednesday, September 2, 2009

Sejauh Mana Rakyat Benar-benar Dekat di Hati Orang Politik?


Kita selalu mendengar ungkapan, rakyat didahulukan, demi rakyat, kuasa rakyat, kebangkitan rakyat dan berbagai-bagai lagi ungkapan. Sejauh manakah orang yang mengeluarkan ungkapan-ungkapan terebut benar-benar faham dengan apa yang mereka tuturkan? Sejauhmana pula mereka sebenarnya mewakili suara rakyat?

Orang politik kadang-kala bersikap lebih kebudak-budakan dari seorang budak. Orang politik kadang-kala lebih memeningkan kepala rakyat dari sepatutnya mereka yang pening memikirkan masalah rakyat. Nampaknya dunia sudah terbalik. Ada pemimpin politik yang mahu diri mereka diperhatikan oleh rakyat dan mendapat simpati rakyat. Sedangkan sepatutnya rakyatlah yang harus mendapat perhatian dan simpati dari pemimpin yang mereka pilih.

Lalu terfikir, sejauh mana sebenarnya orang yang mengaku sebagai seorang ahli politik, yang bermaksud memperjuangkan hak dan membela rakyat, telah bertindak mengikut tatacara yang betul sebagai seorang pemimpin? Seorang pemimpin mestilah memimpin pengikutnya agar membuat perkara-perkara yang betul disamping mengajar mereka mengetahui hak mereka sebagai rakyat, menghormati undang-undang serta melakukan perkara-perkara yang tidak menyalahi undang yang telah termaktub.

Adakah pemimpin-pemimpin pembangkang di Perak mempunyai karteria ini? Adakah mereka sebenarnya mengetahui, memahami dan cuba menyelesaikan masalah rakyat? Adakah mereka sudah mengajar rakyat untuk mematuhi rukun negara, keluruhan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang? Atau mereka sebenarnya sedang memperjuangkan sesuatu yang belum sudah yang mesti diselesaikan segera sebelum berakhirnya penggal DUN ke 12? Apakah sebenarnya kerja yang telah mereka lakukan sepanjang setahun lebih menjadi wakil rakyat?

Hari ini mereka mengadakan 'sedang dewan' dalam sebuah hotel. Apa yang mereka cari? Andaikan mereka berjaya memutuskan sesuatu usul, kemanakah akan mereka bawa usul tersebut? Jika dengan sesuatu usul, maka runtuhlah kerajaan BN di Perak, bagaimanakah caranya pembangkang ingin mentadbir Perak sedangkan dengan sultan pun mereka sudah berpatah arang?

Jadi sebenarnya, perbuatan mereka itu adalah sia-sia, rektorik dan sengaja ingin melihat keadaan negara dan negeri Perak terus menerus menjadi tidak tentu arah. Siapa yang sebenarnya memperbodohkan rakyat?

No comments:

SAHABAT-SAHABAT AM