Akhirnya debaran berakhir. Pengundi Manek Urai telah memilih pemimpin yang mereka kehendaki dengan memberi kemenangan kepada calon PAS Mohd Fauzi Abdullah yang berjaya mengalahkan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat dengan kelebihan 65 undi.
Tiada apa yang hendak diperkatakan. Rasanya jentera BN telah berbuat apa yang sepatutnya. Mereka telah bekerja siang dan malam untuk memastikan kemenangan calon BN.
Apa yang AM nampak ialah, pemimpin PAS telah berjaya menyemarakkan terus api kebencian rakyat terhadap UMNO sehinggakan janji Timbalan Perdana menteri, untuk menjadikan Manek Urai sebagai anak emas kerajaan pusat dan pembinaan jambatan berharga RM7 juta ringgit tidak sedikitpun menjadi daya tarikan kepada mereka.
Isu royalti minyak yang menjadi senjata ampuh PAS dalam pilihanraya tersebut sebenarnya hanyalah modal untuk menambah kebencian rakyat kepada kerajaan persekutuan. Mereka sudah sedia maklum bahawa walaupun mereka menang, mereka tidak akan berjaya mendapatkan apa yang dikatakan sebagai hak rakyat Kelantan itu. Sebaliknya yang mereka lakukan ialah, meyakinkan pengundi bahawa kerajaan persekutuan telah bersikap zalim terhadap rakyat Kelantan. Maka untuk menzahirkan kebencian itu, mereka wajib mengundi PAS.
Manakala jika memilih untuk menerima offer dari TPM, sudah pasti jambatan usang yang menjadi masalah utama sejak dua puluh tahun lalu akan dirobohkan dan diganti dengan jambatan yang lebih besar dan selesa. Bukan itu sahaja, kawasan Manek Urai akan dimajukan sebagai pusat pertanian moden, walaupun sepatutnya kerja memajukan sesebuah daerah adalah kerja kerajaan negeri.
Jika ikut permikiran singkat dan dangkal sekalipun, pengundi sepatutnya tidak mensia-siakan peluang keemasan ini dengan memangkah BN. Setelah dapat apa yang dijanjikan oleh BN, maka pada pilihanraya akan datang, mereka boleh berbalik semula dengan mengundi PAS. Malangnya mereka tidak melakukannya. Peluang keemasan untuk merasai kemajuan, berlalu begitu sahaja.
Bukan semua pengundi di Manek Urai tinggal di kampung dan hidup susah. Ramai dari mereka yang tinggal di bandar dan berjaya dalam hidup, mempunyai pekerjaan dan rumah yang selesa. Undi mereka itulah yang mungkin mengakibatkan kekalahan BN dan terus menggelapkan masa depan penduduk kampung Manek Urai.
Penduduk miskin akan terus hidup melarat, walaupun sebahagian dari mereka telah mula sedar dengan kesilapan yang mereka lakukan masa pilihanraya ke-12 dan ingin mengubah hidup mereka. Malangnya hasrat tersebut tidak kesampaian. Semoga mereka akan bekerja lebih keras lagi, agar kemenangan akan memihak kepada BN pada pilihanraya ke-13 dan seterusnya boleh mengubah hidup mereka.
No comments:
Post a Comment