Wednesday, July 8, 2009

Dalema Melayu

Sedar atau tidak, sebenarnya orang melayu mempunyai mentaliti yang sangat rendah. Mudah percaya kepada persepsi, andaian, dengar cakap dan tuduhan tanpa bukti.

Dinegara barat, untuk mempercayai sesuatu perkara, mereka terpaksa berbelanja berjuta dollars untuk membuat kajian dan penyelidikan. Di Malaysia, dengan secawan kopi di warong mamak, sesuatu cerita akan bertukar tangan dengan begitu cepat dan boleh disimpulkan dalam beberapa minit sahaja.

Orang yang mempunyai daya bercakap dan kepintaran memunipulasi cerita akan dengan cepat menjadi popular. Kalau tidak, masakan dalam bab agamapun, ada orang melayu boleh mempercayai adanya rasul melayu dan ajaran baru selain dari ajaran agama islam yang telah dianuti oleh nenek moyang mereka. Semua ini hanyalah kerana orang yang membawa cerita atau fahaman tertentu telah berjaya meyakinkan pendengar, dengan hujah-hujah dan hukum logik yang mudah difahami dan diterima oleh orang melayu.

Berita terbaru ialah tentang wujudnya emas disatu kawasan di negeri Terengganu. Berpuluh-puluh orang (mungkin beratus) meninggalkan kerja dan keluarga untuk mejadi pelombong emas, semata-mata kerana percaya adanya emas di kawasan berkenaan. Akhirnya mereka sedar bahawa mereka telah membuang masa mereka, kerana logam yang disangka emas itu bukanlah emas yang sebenar.

Dalam bidang politik, orang melayu akan 'taksub tak bertempat' kepada individu tertentu yang berjaya berhujah dan berektorik, terutamanya bila orang itu boleh membaca sepotong dua ayat al-quran. Mereka akan bermati-matian, sehingga sanggup menjadi benteng manusia untuk mempertahankan individu berkenaan. Semua ini hanyalah kerana mereka telah percaya bahawa itulah pemimpin sebenar (pemimpin akhir zaman)

Sikap berserah pada takdir dan menyalahkan takdir jika nasib tidak memihak kepada mereka, akan terus menjadi nadi kehidupan orang melayu. Pada tahap ini belum tentu ada makhluk yang bernama manusia akan mampu mengubah pemikiran orang melayu, malah jika tuhan turunkan malaikat ke muka bumi ini untuk mengubah minda mereka, belum tentu malaikat akan berjaya melaksanakan tanggung-jawab tersebut dengan mudah.

Itulah dalema melayu yang belum berakhir.

No comments:

SAHABAT-SAHABAT AM