Wednesday, July 8, 2009

Undang-undang, Kuasa dan Penguatkuasa

Tak habis fikir bila mengenangkan cara dan corak pentadbiran penguatkusa majlis perbandaran tempatan menjalankan tugas. Tak perlu disebut PBT yang mana satu, kerana rasanya hampir semua PBT di Malaysia mempunyai tahap pentadbiran yang cukup rendah. Menjadi pak turut dan balaci kepada golongan tertentu.

PBT atau Majlis Perbandaran adalah sebuah badan kerjaan yang paling hampir dengan masyarakat. Disitulah biasanya tempat rakyat mengadu nasib untuk mendapat pembelaan. Orang politik atau ahli majlis biasanya (sepatutnya) hanyalah bertindak sebagai penasihat atau pemantau kerja-kerja yang dijalankan oleh PBT. Malangnya selama ini PBT telah digunakan oleh orang politik untuk menjalankan dasar-dasar peribadi mereka.

Jika di United States, tukarlah siapa sahaja Presiden mereka, dasar kerajaan Amerika akan tetap sama. Sebab itu rakyat tidak akan peduli siapa akan memerintah mereka, kerana kehidupan mereka pasti tidak akan tergugat walaupun bertukar pemerintah.

Di Malaysia, disebabkan pertukaran kerjaan negeri, kehidupan rakyat juga telah berubah. Jika dulu parti politik tertentu boleh mengajak rakyat untuk berdemo, membantah kadar bayaran parkir yang mahal, tetapi bila bertukar kerajaan, parkir yang sebelumnya hanyalah RM2, kini telah dinaikkan kepada rm3. Majlis Perbandaran nampaknya lebih mengikut telunjuk ahli politik dari mendengar masalah rakyat.

Orang politik dengan sewenang-wenangnya menggunakan majlis perbandaran untuk merampas satu persatu hak rakyat. Dewan orang ramai dengan sewenang-wenangnya disita dengan alsan untuk ditadbir oleh PBT. Hakikatnya ada dewan yang diambil alih, terbiar semak dan kotor dan yang lainnya digunakan sebagai 'pusat sumber kewangan' bila rakyat yang hendak menggunakan dewan berkenaan dikenakan bayaran.

Rakyat (orang melayu yang rendah pelajarannya dan lemah pemikirannya) telah tersenyum lebar bila mendapat tahu bahawa kadar bayaran bil air mereka telah diturunkan, tetapi mereka lupa bahawa, mereka atau rakan dan keluarga mereka terpaksa dibebani dengan tambahan bayaran untuk parkir, penggunaan dewan orang ramai, bayaran tapak pasar malam dan sebagainya yang telah melambung tinggi. Jadi dimanakah istilah kebajikan yang dilaung-laungkan sebelum ini?

Sebagai kerajaan tempatan, Majlis Perbandaran sepatutnya bebas dari fahaman politik dan membuat kerja tanpa dipengaruhi oleh golongan tertentu. Rakyat memerlukan pembelaan dan bukannya janji-janji kosong dari orang politik. Majlis Perbandaran sepatutnya menjalankan tanggungjawab mengikut garis panduan yang telah ditetapkan tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaan negeri.

No comments:

SAHABAT-SAHABAT AM