Saturday, October 10, 2009

Apabila hak asasi manusia mengatasi agama

ALLAH berfirman: "Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (terlebih dahulu) orang yang melampau-lampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat, maka hendaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya." Al-Isra' ayat 16.

Surah itu merupakan surah ke-17 di dalam al-Quran. Jika dibandingkan, gempa bumi di Padang berlaku pada pukul 5.16 petang atau 17:16 bersamaan dengan surah 17 ayat 16.

Gempa di Sumatera Barat itu bukanlah yang pertama kali di Indonesia, bahkan kejadian lebih dahsyat pernah berlaku di Aceh, Bengkulu, Nias, Tasikmalaya, Yogyakarta dan banyak tempat lagi.

Mengapakah negara kepulauan itu sering dilanda bencana? Apakah semata-mata kerana ia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik.

Sebenarnya memang mudah untuk orang asing seperti penulis melihat mengapa Indonesia terus dihukum oleh Allah.

Maksiat bertebaran di seluruh pelosok negara yang mempunyai penduduk 220 juta itu sehingga tiada sekatan atau tindakan menghalang oleh pemerintah.

Pada bulan puasa, gerai-gerai dan restoran dibuka seperti bulan lain. Orang yang memakai tudung dan yang berkopiah putih makan di khalayak ramai di bulan Ramadan.

Mereka langsung tidak menghormati umat Islam lain yang berpuasa. Jika umat Islam sendiri tidak tahu menghormati saudara seagama, apatah lagi mereka yang beragama lain.

Indonesia terkenal melahirkan ulama-ulama besar dan beribu-ribu sekolah agama (pesantren). Tetapi ulama hanya dijadikan hiasan oleh pemerintah dan akan dipanggil memberi ceramah serta nasihat kepada orang ramai apabila timbul isu pengganas dan sebagainya.

Selepas itu ulama terus dipinggir dan tidak langsung terlibat dalam membuat keputusan di negara yang berpaksikan Pancasila itu.

Dalam erti kata lain, ulama hanya berfungsi untuk upacara keagamaan sahaja.

Hak asasi manusia merupakan satu kepercayaan dan seolah-olah 'agama baru' yang digenggam erat oleh sebahagian besar rakyat dan ia seperti mengatasi segala-galanya termasuk agama.

Contohnya memang cukup banyak. Apabila undang-undang antikelucahan mahu dibentang dan digubal, banyak pihak membantah dengan alasan ia akan mematikan kebudayaan dan kesenian masyarakat setempat seperti di Papua dan Bali.

Begitu juga apabila undang-undang mewajibkan label halal diletakkan pada produk makanan. Ia ditentang hebat oleh banyak pihak yang kononnya melanggar hak asasi manusia.

Ada seorang rakan rakyat Indonesia memberitahu negara berkenaan meletakkan label bagi makanan yang tidak halal sahaja kerana yang lain semuanya halal.

Satu lagi insiden begitu pelik berlaku apabila pihak berkuasa tempatan mengesan serunding yang diperbuat daripada daging babi. Pihak berkenaan hanya merampas produk yang telah sekian lama berada di pasaran dan tiada tindakan diambil terhadap pengeluarnya.

Bencana gempa yang berlaku di Padang, Pariaman, Jambi dan Bengkulu terletak di Sumatera Barat itu juga tidak diisytiharkan sebagai bencana negara, sebaliknya ia diisytiharkan sebagai bencana daerah sahaja.

Oleh itu walaupun seluruh dunia tampil memberi bantuan dan melahirkan simpati, tetapi di Indonesia ia seolah-olah tiada bencana berlaku.

Contohnya, Parti Golkar tetap meneruskan pemilihan Ketua Umum. Hampir berlaku pergaduhan semata-mata kerana berebut kuasa. Akhirnya jutawan dan menteri penuh kontroversi, Aburizal Bakrie dipilih, Rabu lalu.

Pada hari yang sama, Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah Indonesia, Antasari Azahari pula dituduh di Mahkamah Tangerang menjadi perancang kepada pembunuhan seorang ahli perniagaan, Nasrudin Zulkarnaen.

Antasari didakwa membunuh Nasrudin kerana mangsa telah mengugut untuk mendedahkan hubungan sulitnya dengan Rhani iaitu isteri ketiga Nasrudin.

Apabila berlaku bencana, dua kemungkinan iaitu Allah mahu menegur hamba-Nya atau Allah mahu menghukum mereka.

Mungkin di Indonesia baru di tahap teguran dan masih ada ruang serta waktu untuk menginsafinya. Tetapi mungkin jika langsung tiada keinsafan untuk berubah, bencana seterusnya adalah hukuman daripada Allah.

No comments:

SAHABAT-SAHABAT AM